Sunday, 12 April 2015

Keghairahan Menamakan Sesuatu Menggunakan Bahasa Inggeris

Pada masa kini, keghairahan masyarakat menamakan sesuatu tempat, bangunan serta taman perumahan dengan nama-nama yang menggambarkan keinggerisan menjadi satu 'trend' bagi menampilkan situasi elegan.

Malaysia kini mempunyai Park Avenue, Pavillion, Roseville, Casa Del Mar, Gold Coast dan banyak lagi. Persoalannya kenapa nama-nama seperti ini menjadi keminatan sehingga hilang identiti kemelayuan? Adakah ia bagi menggambarkan suasana elit dan urban?

Sehingga kini belum ada mana-mana penguatkuasaan yang mewajibkan nama-nama tempat atau premis dinamakan dengan menggunakan Bahasa Melayu. Justeru, penggunaan nama-nama ini menjadi seolah-olah kemestian sehingga nama-nama yang menggambarkan kemelayuan nampak asing dan ketinggalan.

Bagaimanakah jati diri Bahasa Melayu dapat dimartabatkan jika penggunaannya semakin terasing? Apakah nasib kedaulatan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan rakyat Malaysia? Fikir-fikirkan...




Saturday, 11 April 2015

Tugasan ini membincangkan mengenai pola ayat yang dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan yang berbeza daripada penerangan yang dibuat dalam Nahu Melayu Mutakhir dan Tatabahasa Bahasa Melayu: morfologi dan sintaksis untuk guru dan pelajar. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2013), dalam Bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis, dengan berpandu pada jenis-jenis unsur yang hadir sebagai konstituen ayat-ayat itu, iaitu jenis-jenis subjek dan predikatnya (Nik Safiah Karim et al., 2013: 437).  Konstituen subjek, pada umumnya, diisi oleh frasa nama, sementara konstituen predikat pula diisi oleh empat jenis unsur yang berbeza, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama (Nik Safiah Karim et al., 2013: 437). Ringkasnya, empat pola ayat dasar dengan unsur-unsurnya adalah seperti berikut (Nik Safiah Karim et al., 2013: 438):

Pola 1    :              Frasa Nama + Frasa Nama              (FN + FN)
Pola 2    :              Frasa Nama + Frasa Kerja               (FN + FK)
Pola 3    :              Frasa Nama + Frasa Adjektif          (FN + FA)
Pola 4    :              Frasa Nama + Frasa Sendi Nama    (FN + FS)

Tiap-tiap konstituen boleh mengandungi hanya satu perkataan, kecuali pola (4) yang konstituen predikatnya mesti terdiri daripada kata sendi nama diikuti oleh kata nama atau frasa nama seperti yang terdapat dalam contoh-contoh berikut (Nik Safiah Karim et al., 2013: 438):
              

Pola

Subjek

Predikat

Pola 1

Frasa Nama
Ahmad

Frasa Nama
guru.

Pola 2

Frasa Nama
Padi

Frasa Kerja
menguning.

Pola 3

Frasa Nama
Murid-murid

Frasa Adjektif
rajin.

Pola 4

Frasa Nama
Ipoh

Frasa Sendi Nama
Di Perak.
               
Abdullah Hassan (2002), pula menyatakan bahawa ada kalanya kata kerja boleh menjadi subjek. Contoh:

1.       Merokok membahayakan kesihatan.
2.       Bersenam baik untuk kesihatan.
3.       Bersedekah ialah perbuatan mulia.
4.       Berjimat membawa rahmat.
5.       Membacaakan menambahkan ilmu.                          (Abdullah Hassan, 2002: 289-290).

Malah menurut Abdullah Hassan (2002), frasa kerja juga boleh menjadi subjek. Contoh:

6.       Menghormati ibu bapa adalah tugas anak.
7.       Membuang sampah merata-rata boleh didenda.
8.       Mengampunkan dosa orang lain akan diberi ganjaran pahala yang besar.
9.       Menjaga sungai daripada tercemar ialah tugas setiap orang.
10.    Bersedekah kepada anak yatim dituntut oleh agama.
11.    Bertakwa kepada Allahakan mendatangkan semangat berani.   
                                                                                                    (Abdullah Hassan, 2002: 290).

Abdullah Hassan (2002), juga menyatakan bahawa ada kalanya kata sifat boleh menjadi subjek. Contoh:

12.    Tingginya menyapu awan.
13.    Besarnya macam gajah.
14.    Panjangnya seperti kereta api.
15.    Luasnya empat hektar.
16.    Beratnya dua kilogram.                                                  (Abdullah Hassan, 2002: 290).

Jika berdasarkan penerangan oleh Abdullah Hassan ini, berlaku pertentangan dengan Tatabahasa Dewan yang meletakkan pola ayat hanya boleh didasari oleh frasa nama yang bertindak sebagai subjek ayat.

Asmah Haji Omar (1993) pula mengatakan bahawa, ayat-ayat itu didapati terbentuk dari dua pola dasar (Asmah Haji Omar, 1993: 355), iaitu:

Frasa Benda-Frasa Benda (FB-FB)
Frasa Benda-Frasa Karyaan (FB-FK)        
                                                 
Frasa benda ialah kata, frasa atau klausa yang menganggotai golongan benda (Asmah Haji Omar, 1993: 355). Dari itu, frasa benda boleh mewakili kata, frasa atau klausa nama, kata atau frasa bilangan dan kata ganti nama (Asmah Haji Omar, 1993: 355). Frasa benda boleh berfungsi pada subjek, objek dan predikat nama dalam ayat (Asmah Haji Omar, 1993: 355).

Frasa karyaan dalam bentuk sepenuh-penuhnya terdiri dari kata Kata Karyaan + FB + Frasa Adverba (Asmah Haji Omar, 1993: 355). Unsur FB melambangkan objek, dan frasa benda dalam frasa ini tidak wajib ada, kerana kata kerja tak transitif dan kata sifat tidak mempunyai objek (Asmah Haji Omar, 1993: 355-356). Di samping itu, adverba juga akan wujud menurut keperluan menyampaikan mesej tertentu sahaja (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Unsur yang penting, yakni yang wajib ada dalam frasa karyaan, ialah kata karyaan, baik kata kerja mahupun kata sifat (Asmah Haji Omar,1993: 356).

Ayat juga boleh dibahagikan kepada bahagian-bahagiannya, dan bahagian-bahagian yang lazim ditimbulkan seperti (Asmah Haji Omar,1993: 356):

Subjek – Predikat – Objek – Ajung.

Apa yang dinamakan subjek (S) itu ialah unsur yang, dalam struktur dasar yang tidak ditandai oleh suasana, menjadi pokok pembicaraan (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Subjek diisi oleh golongan benda atau FB (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Dalam pola dasar FB-FB dan FB-FK, FB yang pertama bagi masing-masingnya itu adalah subjek ayat (Asmah Haji Omar, 1993: 356).

Dalam Bahasa Melayu, kata yang berfungsi sebagai predikat boleh terdiri dari kata nama, kata kerja atau kata sifat, dan frasa predikat terdiri dari FB atau FK (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Predikat yang terdiri dari FK disebut predikat sahaja, sedangkan yang terdiri dari FB disebut predikat nama (PN) (Asmah Haji Omar 1993: 356).

Objek (O) adalah FB yang terdapat langsung sesudah kata kerja dalam FK (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Sesuatu kata kerja juga boleh mengambil satu atau dua objek, yakni objek langsung atau objek langsung + objek tak langsung (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Objek langsung (OL) adalah objek yang letaknya langsung sesudah kata kerja ekatransitif.
Contoh:

17.    Dia membeli baju.
18.    Dia membaca buku.                                                         (Asmah Haji Omar 1993: 356). 

Objek tak langsung (OTL) adalah objek yang letaknya sesudah kata kerja dwitransitif dan sebelum objek langsung.
Contoh:

19.    Dia membelikan saya baju.
20.    Dia membacakan emaknya surat itu.                         (Asmah Haji Omar 1993: 356-357).

Oleh itu, penulis dapat menyimpulkan bahawa pola ayat yang dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013) jelas bertentangan dengan pola ayat yang dihuraikan oleh Asmah Haji Omar (1993). Begitu juga Abdullah Hassan (2002) yang turut memberi penerangan berbeza. Justeru, kajian semula harus dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam rujukan memandangkan buku Tatabahasa Dewan sering menjadi sumber rujukan utama tatabahasa Bahasa Melayu.


Bibliografi.

Abdullah Hassan. 2002. Tatabahasa Bahasa Melayu: morfologi dan sintaksis untuk guru dan pelajar. PTS Publication: Pahang.

Abdullah Hassan. 2014. Perbandingan tentang jenis ayat majmuk antara Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et al. 2010) dengan Linguistik Am (Abdullah Hassan. 2005). Akses daripada http://abkar178.blogspot.com/2014/04/perbandingan-tentang-jenis-ayat-majmuk.html pada 28 Mac 2015, 3.15am.

Asmah Haji Omar. 2014.  Jurnal Bahasa. Akses daripada http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/?p=375 pada 28 Mac 2015, 1.30am.

Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Hasan Alwi. 2013. Perbandingan Tatabahasa Dewan dengan Tatabahasa Baku Bahasa Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Akses daripada http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/?p=1240 pada 29 Mac 2015, 9.20am.

Nik Safiah Karim et al.. 2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.



Friday, 10 April 2015

Kenapa Sirih?

Tugasan ini akan membincangkan mengenai peribahasa Melayu yang tidak asing bagi kita iaitu Sirih Pulang ke Gagang. 

Menurut Abdullah Hussain (1997), sirih ialah sejenis tumbuhan yang melata. Sirih juga memanjat pada junjung, pokok kayu, tembok dan sebagainya (Abdullah Hussain, 1997: 162). Daunnya berwarna hijau dan kekuning-kuningan  (Abdullah Hussain, 1997: 162). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, sirih merupakan sejenis tumbuhan yang pokoknya renek yang memanjat dan daunnya dimakan dengan pinang, gambir dan kapur.
Manakala perkataan gagang pula menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, membawa maksud  bahagian pangkal daun, buah atau bunga yang tidak berteras dan melekat pada ranting atau pada batang pokok; tangkai serta batang tumbuh-tumbuhan yang menjalar atau melilit, seperti batang sirih. Abdullah Hussain (1997) pula memberi takrifan bahawa gagang ialah tangkai.
Sirih Pulang ke Gagang pula merupakan peribahasa Melayu lama yang masih digunakan secara meluas pada masa kini. Peribahasa ini bermaksud kembali ke tempat asal. Dalam peribahasa ini, gagang bermaksud sulur atau batang (Abdullah Hussain, 1997: 162). 
Melihat takrifan sirih dan gagang di atas serta takrifan ungkapan peribahasa Sirih Pulang ke Gagang, bagaimana daun sirih yang sudah dipetik itu boleh balik ke batangnya? Dan kenapa sirih yang diambil untuk menggambarkan situasi itu?
Pada masa dahulu, hampir setiap rumah mempunyai pokok sirih yang ternyata mempunyai pelbagai kegunaan.  Abdullah Hussain (1997), menyatakan bahawa, penggunaan sirih dalam seni budaya dan adat istiada masyarakat  Melayu cukup istimewa. Daun sirih dimakan dengan pinang, gambir dan kapur oleh orang Melayu. Selain dimakan, sirih juga menjadi lambang atau adat sesuatu majlis, menjadi penyeri wajah atau pengikat kasih dalam upacara pertunangan (Abdullah Hussain, 1997: 162). Tepak sirih juga menjadi ciri ciri utama yang dihulurkan terlebih dahulu sebagai adat menerima tetamu, manakala sirih junjung yang dihiasi dengan berbagai-bagai bunga digubah untuk dijadikan penyeri di majlis perkahwinan dan mengalu-alukan tetamu yang dihormati (Abdullah Hussain, 1997: 162). 
Peribahasa ini sebenarnya termasuk dalam jenis misalan, atau perumpamaan dan satu andaian sahaja untuk menggambarkan perasaan gembira seseorang (Abdullah Hussain, 1997: 162). Kita berasa seronok dan gembira jika kita dapat pulang ke rumah atau berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama berpisah atau berjauhan dengan mereka (Abdullah Hussain, 1997: 162). 
Perkataan sirih digunakan kerana ia melambangkan sifat rendah hati, sentiasa memberi dan memuliakan orang lain. Makna itu ditafsirkan berdasarkan cara sirih tumbuh yang memanjat pada para-para, batang pohon sakat atau api-api tanpa merosakkan batang atau apapun tempat ia hidup (http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1703).  Malahan, sebahagian dari cabang-cabangnya akan menjalar di atas tanah dan menutupi bumi. 
Sifat utama peribahasa ialah metaforanya yang perlu difahami dalam konteks budaya penuturnya (Ding Choo Ming, 2009). Dengan itu, timbullah peribahasa ‘Sirih Pulang ke Gagang’.  Metafora digunakan untuk membolehkan suatu topik, objek atau hal diterangkan, dihuraikan, dinyatakan dan digambarkan dengan lebih baik, berkesan dan komprehensif, berbanding dengan makna harafiahnya (Ding Choo Ming, 2009). Makna metafora itu ditentukan budaya bahasa yang berkenaan, maka memahami metafora dalam bahasa itu sangat-sangat diperlukan untuk memahami peribahasa dalam pendokumentasian peribahasa Melayu (Ding Choo Ming, 2009).
Peribahasa mesti dinilai, ditafsir dalam konteksnya (Ding Choo Ming, 2009). Jika tidak, nilai estikanya akan hilang (Ding Choo Ming, 2009). Dengan mengaitkan konsep yang abstrak kepada pengalaman yang konkrik  pada diri manusia, maksud metafora dalam peribahasa yang berkenaan didapati boleh mengaitkan perasaan, kelakuan, pengalaman, persepsi yang sukar ditanggapi dengan suatu objek yang mempunyai sifat itu (Ding Choo Ming, 2009). Kehebatan peribahasa Melayu juga terletak kepada kekayaan isinya: beranekaragam, malahan boleh dikatakan telah meliputi semua aspek hidup seharian dan juga dunia ghaib (the invisible world), alam haiwan dan botani (Ding Choo Ming, 2009).
Sehubungan itu, keaneka-ragaman tema kehidupan sosial orang Melayu berinteraski dengan alam fizikal dan sosial persekitaran mereka menghasilkan peribahasa ini (Ding Choo Ming, 2009).  Kepopularan peribahasa ialah kerana nilai, kebijaksanaan, akal dan budi orang Melayu (Ding Choo Ming, 2009).
Jelas disini, sebahagian peribahasa Melayu telah memanfaatkan perasaan orang Melayu yang tercetus daripada interaksi mereka dengan alam semula jadi, yang pada asasnya adalah dunia nyata mereka yang telah ditafsir semula menurut pandangan dan kehendak mereka (Ding Choo Ming, 2009).


Sumber: Google Image


Bibliografi.

Abdullah Hussain. 1997. Canai Budi. Dewan Kuala Lumpur: Bahasa dan Pustaka.

Mahyudin Al Mudra, SH. MM. Tradisi Bersirih dan Nilai Budayanya. Diakses daripada http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1703 pada 7 April 2015, 11.30pm.

Ding Choo Ming, 2009. Beberapa Sifat, Asal Usul dan Kepengarangan Peribahasa Melayu. Diakses daripada http://www.academia.edu/3178012/Beberapa_sifat_asal_usul_dan_kepengarangan_peribahasa_Melayu pada 9 April 2015, 3.25pm.


Thursday, 9 April 2015

Selfie, hashtag, tweet muncul dalam Kamus Dewan - Sinar Harian

Klik link untuk berita penuh: Selfie, hashtag, tweet muncul dalam Kamus Dewan - Nasional - Sinar Harian (26 Mei 2014)



Berdasarkan teks berita ini, perkataan 'selfie', 'hashtag' serta 'tweet' sememangnya popular dan menjadi 'trend' pada masa kini. Perkataan-perkataan ini merupakan kata pinjaman yang sudah diterima pakai secara meluas seperti juga perkataan-perkataan pinjaman lain daripada Arab, Inggeris, sehingga rumpun nusantara seperti Indonesia. Tetapi mengapa tidak menjadi 'selfi', 'heshteg' ataupun 'twit?'



Kebanyakan kata pinjaman mengalami transformasi khususnya daripada segi ejaan. Namun terdapat juga kata pinjaman yang belum sepenuhnya terserap dan mengekalkan ejaannya sebenar.



Menurut Nik Safiah Karim, et. al, (2013), ada segelintir kata asing yang belum terserap sepenuhnya ke dalam Bahasa Melayu, sama ada kerana ketiadaan padanannya yang sesuai ataupun kerana keinginan mengekalkan bentuk asal atas dasar sifat keantarabangsaan penggunaannya. Perkataan-perkataan demikian dieja dan disebut seperti kata asalnya. Contoh: landrover, ad hoc, de facto, in vitro, overdraf, fasakh, qari, mithali, protein dan diesel (Nik Safiah Karim et. al, 2013:325).



Rujukan.



Nik Safiah Karim et. al.. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
              Pustaka.

Sinar Harian. 2014. Diakses daripada http://www.sinarharian.com.my/nasional/selfie-hashtag-tweet-muncul-dalam-kamus-dewan-1.283744 pada 9 April 2015, 11.35am.



Belanja 'selfie' satu ;-)






Wednesday, 8 April 2015

Pendahuluan
Saya telah mencadangkan supaya penelitian terhadap bahasa mungkin, sebagaimana difahamkan sejak dahulu lagi, memberikan satu perspektif yang dapat membantu penelitian terhadap proses-proses mental manusia.

-Noam Chomsky
(1968, p. 84)

Bahasa sering didianggap sebagai 'sebuah tingkap bagi melihat minda'. Sejak lebih 25 tahun yang lalu, para pengkaji sebuah sub bidang kecil yang disebut psikologi kognitif atau psikolinguistik telah berusaha membersihkan cermin tingkap tersebut. (Slobin, D.I, 1978).

Apakah sifat tingkah laku berbahasa? Adalah penting untuk memahami perbezaan antara tingkah laku nyata dan struktur dalaman. Dalam Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain,  perbezaan ini diperkatakan melalui konsep BAHASA dan PERTUTURAN (Slobin, D.I, 1978).

Tingkah laku pertuturan bermula daripada pemikiran kepada kata-kata; tingkah laku pendengaran bermula daripada kata-kata kepada pemikiran (Slobin, D.I, 1978). Untuk menggunakan bahasa Inggeris umpamanya, kita perlu mengetahui tatabahasanya iaitu fonologi, sintaksis, dan semantik selain dunia fizikal dan sosial yang menjadi konteks pertuturan Bahasa Inggeris supaya perbualan menjadi bermakna (Slobin, D.I, 1978).

Begitu juga dengan Bahasa Melayu. Jika berdasarkan penerangan di atas iaitu tingkah laku pendengaran bermula daripada kata-kata kepada pemikiran, bagaimana keadaannya dengan mereka yang mengalami kecacatan?

Untuk menuturkan sesuatu ayat, idea diperlukan bagi memperlihatkan apa yang ingin diperkatakan walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk kata-kata. Ini boleh diterjemahkan melaui isyarat. Wilhelm Wundt (1912, p. 242-43) menyatakan bahawa suatu ayat tidak boleh dianggap hanya sebagai rangkai kata, kerana, kata-kata sesuatu ayat adalah saling berkaitan dan mewakili konfigurasi mental (Slobin, D. I, 1978).

Descartes menyatakan bahawa 'orang-orang yang dilahirkan pekak dan bisu juga...biasanya mencipta sendiri tanda-tanda tertentu yang digunakan untuk difahami oleh orang-orang yang berada dengan mereka, cukup untuk mempelajari bahasa mereka' (Slobin, D.I, 1978). Ini menunjukkan bahawa keupayaan berbahasa juga dapat ditunjukkan melalui isyarat bagi menyampaikan maksud pemikiran. Isyarat ini termasuklah sistem suara, isyarat gerak dan sebagainya.

Bahasa isyarat ialah kaedah berkomunikasi yang digunakan oleh golongan bermasalah pendengaran (Ling, 1989). Menurut Clark (1999), bahasa isyarat ialah satu kaedah komunikasi yang menggunakan simbol – simbol tanpa menggunakan suara atau dikenali sebagai ’non – verbal communication’. Simbol – simbol yang digunakan boleh merupakan pergerakan tangan dan anggota badan yang lain, mimik muka, gambar, simbol – simbol atau isyarat yang mempunyai makna tertentu dan boleh difahami oleh kedua – dua pihak iaitu penutur dan penerima.

Sejarah bahasa isyarat telah pun bermula sejak kurun ke-16 lagi di barat. Pada tahun 1755, Abbe’ de L’Epee telah menubuhkan sekolah untuk kanak – kanak pekak yang pertama di Paris. Kemudian Laurent Clerc yang merupakan pelajar di sekolah kanak – kanak pekak tersebut telah berhijrah ke Amerika Syarikat dan menubuhkan ’American School for the deaf ’ yangsseterusnya berkembang menjadi ’Gallaudet University ’.

Di Malaysia, BIM(Bahasa Isyarat Malaysia) digunakan di kalangan Orang Pekak Malaysia dan merupakan bahasa ibunda dan bahasa istimewa bagi mereka. BIM digunakan bagi memudahkan komunikasi antara dua Orang Pekak serta memberi kesan pemahaman yang baik antara satu sama lain. Selain itu, BIM juga mempunyai peraturan untuk digunakan dan mempunyai tatabahasanya yang tersendiri. BIM ini diwujudkan secara tidak langsung dan bukan dicipta oleh seorang sahaja. Sementara itu, KTBM(Kod Tangan Bahasa Melayu) pula bukan sesuatu bahasa umum tetapi merupakan salah satu cara komunikasi dalam tatabahasa Bahasa Melayu yang baku. Dengan kata lain, KTBM digunakan apabila berlakunya terjemahan daripada lisan (suara) kepada visual (tangan) dalam tatabahasa Bahasa Melayu. KTBM ini tidak memberi kesan yang baik dan melambatkan lagi komunikasi antara dua Orang Pekak. Bukan sahaja KTBM tidak dapat memberi gambaran dan maksud kepada Orang Pekak, tetapi juga menyebabkan Orang Pekak tidak dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Apabila KTBM digunakan, kebanyakan Orang Pekak mengalami kekeliruan apabila berkomunikasi dalam KTBM (dipetik daripada blog http://sirkarami.tripod.com/biodata.htm).

Rujukan.

Slobin, D.I. (Penterjemah: Ton Ibrahim). 1991. Ilmu Psikolinguistik Edisi Kedua. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd Karami Wan Mahmud. Bahasa Isyarat.  Akses daripada
http://sirkarami.tripod.com/bahasaisyarat.htm pada 8 April, 12.05pm.