Saturday, 11 April 2015

Tugasan ini membincangkan mengenai pola ayat yang dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan yang berbeza daripada penerangan yang dibuat dalam Nahu Melayu Mutakhir dan Tatabahasa Bahasa Melayu: morfologi dan sintaksis untuk guru dan pelajar. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2013), dalam Bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis, dengan berpandu pada jenis-jenis unsur yang hadir sebagai konstituen ayat-ayat itu, iaitu jenis-jenis subjek dan predikatnya (Nik Safiah Karim et al., 2013: 437).  Konstituen subjek, pada umumnya, diisi oleh frasa nama, sementara konstituen predikat pula diisi oleh empat jenis unsur yang berbeza, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama (Nik Safiah Karim et al., 2013: 437). Ringkasnya, empat pola ayat dasar dengan unsur-unsurnya adalah seperti berikut (Nik Safiah Karim et al., 2013: 438):

Pola 1    :              Frasa Nama + Frasa Nama              (FN + FN)
Pola 2    :              Frasa Nama + Frasa Kerja               (FN + FK)
Pola 3    :              Frasa Nama + Frasa Adjektif          (FN + FA)
Pola 4    :              Frasa Nama + Frasa Sendi Nama    (FN + FS)

Tiap-tiap konstituen boleh mengandungi hanya satu perkataan, kecuali pola (4) yang konstituen predikatnya mesti terdiri daripada kata sendi nama diikuti oleh kata nama atau frasa nama seperti yang terdapat dalam contoh-contoh berikut (Nik Safiah Karim et al., 2013: 438):
              

Pola

Subjek

Predikat

Pola 1

Frasa Nama
Ahmad

Frasa Nama
guru.

Pola 2

Frasa Nama
Padi

Frasa Kerja
menguning.

Pola 3

Frasa Nama
Murid-murid

Frasa Adjektif
rajin.

Pola 4

Frasa Nama
Ipoh

Frasa Sendi Nama
Di Perak.
               
Abdullah Hassan (2002), pula menyatakan bahawa ada kalanya kata kerja boleh menjadi subjek. Contoh:

1.       Merokok membahayakan kesihatan.
2.       Bersenam baik untuk kesihatan.
3.       Bersedekah ialah perbuatan mulia.
4.       Berjimat membawa rahmat.
5.       Membacaakan menambahkan ilmu.                          (Abdullah Hassan, 2002: 289-290).

Malah menurut Abdullah Hassan (2002), frasa kerja juga boleh menjadi subjek. Contoh:

6.       Menghormati ibu bapa adalah tugas anak.
7.       Membuang sampah merata-rata boleh didenda.
8.       Mengampunkan dosa orang lain akan diberi ganjaran pahala yang besar.
9.       Menjaga sungai daripada tercemar ialah tugas setiap orang.
10.    Bersedekah kepada anak yatim dituntut oleh agama.
11.    Bertakwa kepada Allahakan mendatangkan semangat berani.   
                                                                                                    (Abdullah Hassan, 2002: 290).

Abdullah Hassan (2002), juga menyatakan bahawa ada kalanya kata sifat boleh menjadi subjek. Contoh:

12.    Tingginya menyapu awan.
13.    Besarnya macam gajah.
14.    Panjangnya seperti kereta api.
15.    Luasnya empat hektar.
16.    Beratnya dua kilogram.                                                  (Abdullah Hassan, 2002: 290).

Jika berdasarkan penerangan oleh Abdullah Hassan ini, berlaku pertentangan dengan Tatabahasa Dewan yang meletakkan pola ayat hanya boleh didasari oleh frasa nama yang bertindak sebagai subjek ayat.

Asmah Haji Omar (1993) pula mengatakan bahawa, ayat-ayat itu didapati terbentuk dari dua pola dasar (Asmah Haji Omar, 1993: 355), iaitu:

Frasa Benda-Frasa Benda (FB-FB)
Frasa Benda-Frasa Karyaan (FB-FK)        
                                                 
Frasa benda ialah kata, frasa atau klausa yang menganggotai golongan benda (Asmah Haji Omar, 1993: 355). Dari itu, frasa benda boleh mewakili kata, frasa atau klausa nama, kata atau frasa bilangan dan kata ganti nama (Asmah Haji Omar, 1993: 355). Frasa benda boleh berfungsi pada subjek, objek dan predikat nama dalam ayat (Asmah Haji Omar, 1993: 355).

Frasa karyaan dalam bentuk sepenuh-penuhnya terdiri dari kata Kata Karyaan + FB + Frasa Adverba (Asmah Haji Omar, 1993: 355). Unsur FB melambangkan objek, dan frasa benda dalam frasa ini tidak wajib ada, kerana kata kerja tak transitif dan kata sifat tidak mempunyai objek (Asmah Haji Omar, 1993: 355-356). Di samping itu, adverba juga akan wujud menurut keperluan menyampaikan mesej tertentu sahaja (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Unsur yang penting, yakni yang wajib ada dalam frasa karyaan, ialah kata karyaan, baik kata kerja mahupun kata sifat (Asmah Haji Omar,1993: 356).

Ayat juga boleh dibahagikan kepada bahagian-bahagiannya, dan bahagian-bahagian yang lazim ditimbulkan seperti (Asmah Haji Omar,1993: 356):

Subjek – Predikat – Objek – Ajung.

Apa yang dinamakan subjek (S) itu ialah unsur yang, dalam struktur dasar yang tidak ditandai oleh suasana, menjadi pokok pembicaraan (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Subjek diisi oleh golongan benda atau FB (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Dalam pola dasar FB-FB dan FB-FK, FB yang pertama bagi masing-masingnya itu adalah subjek ayat (Asmah Haji Omar, 1993: 356).

Dalam Bahasa Melayu, kata yang berfungsi sebagai predikat boleh terdiri dari kata nama, kata kerja atau kata sifat, dan frasa predikat terdiri dari FB atau FK (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Predikat yang terdiri dari FK disebut predikat sahaja, sedangkan yang terdiri dari FB disebut predikat nama (PN) (Asmah Haji Omar 1993: 356).

Objek (O) adalah FB yang terdapat langsung sesudah kata kerja dalam FK (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Sesuatu kata kerja juga boleh mengambil satu atau dua objek, yakni objek langsung atau objek langsung + objek tak langsung (Asmah Haji Omar, 1993: 356). Objek langsung (OL) adalah objek yang letaknya langsung sesudah kata kerja ekatransitif.
Contoh:

17.    Dia membeli baju.
18.    Dia membaca buku.                                                         (Asmah Haji Omar 1993: 356). 

Objek tak langsung (OTL) adalah objek yang letaknya sesudah kata kerja dwitransitif dan sebelum objek langsung.
Contoh:

19.    Dia membelikan saya baju.
20.    Dia membacakan emaknya surat itu.                         (Asmah Haji Omar 1993: 356-357).

Oleh itu, penulis dapat menyimpulkan bahawa pola ayat yang dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013) jelas bertentangan dengan pola ayat yang dihuraikan oleh Asmah Haji Omar (1993). Begitu juga Abdullah Hassan (2002) yang turut memberi penerangan berbeza. Justeru, kajian semula harus dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam rujukan memandangkan buku Tatabahasa Dewan sering menjadi sumber rujukan utama tatabahasa Bahasa Melayu.


Bibliografi.

Abdullah Hassan. 2002. Tatabahasa Bahasa Melayu: morfologi dan sintaksis untuk guru dan pelajar. PTS Publication: Pahang.

Abdullah Hassan. 2014. Perbandingan tentang jenis ayat majmuk antara Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et al. 2010) dengan Linguistik Am (Abdullah Hassan. 2005). Akses daripada http://abkar178.blogspot.com/2014/04/perbandingan-tentang-jenis-ayat-majmuk.html pada 28 Mac 2015, 3.15am.

Asmah Haji Omar. 2014.  Jurnal Bahasa. Akses daripada http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/?p=375 pada 28 Mac 2015, 1.30am.

Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Hasan Alwi. 2013. Perbandingan Tatabahasa Dewan dengan Tatabahasa Baku Bahasa Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Akses daripada http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/?p=1240 pada 29 Mac 2015, 9.20am.

Nik Safiah Karim et al.. 2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.



No comments:

Post a Comment