Friday, 10 April 2015

Kenapa Sirih?

Tugasan ini akan membincangkan mengenai peribahasa Melayu yang tidak asing bagi kita iaitu Sirih Pulang ke Gagang. 

Menurut Abdullah Hussain (1997), sirih ialah sejenis tumbuhan yang melata. Sirih juga memanjat pada junjung, pokok kayu, tembok dan sebagainya (Abdullah Hussain, 1997: 162). Daunnya berwarna hijau dan kekuning-kuningan  (Abdullah Hussain, 1997: 162). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, sirih merupakan sejenis tumbuhan yang pokoknya renek yang memanjat dan daunnya dimakan dengan pinang, gambir dan kapur.
Manakala perkataan gagang pula menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, membawa maksud  bahagian pangkal daun, buah atau bunga yang tidak berteras dan melekat pada ranting atau pada batang pokok; tangkai serta batang tumbuh-tumbuhan yang menjalar atau melilit, seperti batang sirih. Abdullah Hussain (1997) pula memberi takrifan bahawa gagang ialah tangkai.
Sirih Pulang ke Gagang pula merupakan peribahasa Melayu lama yang masih digunakan secara meluas pada masa kini. Peribahasa ini bermaksud kembali ke tempat asal. Dalam peribahasa ini, gagang bermaksud sulur atau batang (Abdullah Hussain, 1997: 162). 
Melihat takrifan sirih dan gagang di atas serta takrifan ungkapan peribahasa Sirih Pulang ke Gagang, bagaimana daun sirih yang sudah dipetik itu boleh balik ke batangnya? Dan kenapa sirih yang diambil untuk menggambarkan situasi itu?
Pada masa dahulu, hampir setiap rumah mempunyai pokok sirih yang ternyata mempunyai pelbagai kegunaan.  Abdullah Hussain (1997), menyatakan bahawa, penggunaan sirih dalam seni budaya dan adat istiada masyarakat  Melayu cukup istimewa. Daun sirih dimakan dengan pinang, gambir dan kapur oleh orang Melayu. Selain dimakan, sirih juga menjadi lambang atau adat sesuatu majlis, menjadi penyeri wajah atau pengikat kasih dalam upacara pertunangan (Abdullah Hussain, 1997: 162). Tepak sirih juga menjadi ciri ciri utama yang dihulurkan terlebih dahulu sebagai adat menerima tetamu, manakala sirih junjung yang dihiasi dengan berbagai-bagai bunga digubah untuk dijadikan penyeri di majlis perkahwinan dan mengalu-alukan tetamu yang dihormati (Abdullah Hussain, 1997: 162). 
Peribahasa ini sebenarnya termasuk dalam jenis misalan, atau perumpamaan dan satu andaian sahaja untuk menggambarkan perasaan gembira seseorang (Abdullah Hussain, 1997: 162). Kita berasa seronok dan gembira jika kita dapat pulang ke rumah atau berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama berpisah atau berjauhan dengan mereka (Abdullah Hussain, 1997: 162). 
Perkataan sirih digunakan kerana ia melambangkan sifat rendah hati, sentiasa memberi dan memuliakan orang lain. Makna itu ditafsirkan berdasarkan cara sirih tumbuh yang memanjat pada para-para, batang pohon sakat atau api-api tanpa merosakkan batang atau apapun tempat ia hidup (http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1703).  Malahan, sebahagian dari cabang-cabangnya akan menjalar di atas tanah dan menutupi bumi. 
Sifat utama peribahasa ialah metaforanya yang perlu difahami dalam konteks budaya penuturnya (Ding Choo Ming, 2009). Dengan itu, timbullah peribahasa ‘Sirih Pulang ke Gagang’.  Metafora digunakan untuk membolehkan suatu topik, objek atau hal diterangkan, dihuraikan, dinyatakan dan digambarkan dengan lebih baik, berkesan dan komprehensif, berbanding dengan makna harafiahnya (Ding Choo Ming, 2009). Makna metafora itu ditentukan budaya bahasa yang berkenaan, maka memahami metafora dalam bahasa itu sangat-sangat diperlukan untuk memahami peribahasa dalam pendokumentasian peribahasa Melayu (Ding Choo Ming, 2009).
Peribahasa mesti dinilai, ditafsir dalam konteksnya (Ding Choo Ming, 2009). Jika tidak, nilai estikanya akan hilang (Ding Choo Ming, 2009). Dengan mengaitkan konsep yang abstrak kepada pengalaman yang konkrik  pada diri manusia, maksud metafora dalam peribahasa yang berkenaan didapati boleh mengaitkan perasaan, kelakuan, pengalaman, persepsi yang sukar ditanggapi dengan suatu objek yang mempunyai sifat itu (Ding Choo Ming, 2009). Kehebatan peribahasa Melayu juga terletak kepada kekayaan isinya: beranekaragam, malahan boleh dikatakan telah meliputi semua aspek hidup seharian dan juga dunia ghaib (the invisible world), alam haiwan dan botani (Ding Choo Ming, 2009).
Sehubungan itu, keaneka-ragaman tema kehidupan sosial orang Melayu berinteraski dengan alam fizikal dan sosial persekitaran mereka menghasilkan peribahasa ini (Ding Choo Ming, 2009).  Kepopularan peribahasa ialah kerana nilai, kebijaksanaan, akal dan budi orang Melayu (Ding Choo Ming, 2009).
Jelas disini, sebahagian peribahasa Melayu telah memanfaatkan perasaan orang Melayu yang tercetus daripada interaksi mereka dengan alam semula jadi, yang pada asasnya adalah dunia nyata mereka yang telah ditafsir semula menurut pandangan dan kehendak mereka (Ding Choo Ming, 2009).


Sumber: Google Image


Bibliografi.

Abdullah Hussain. 1997. Canai Budi. Dewan Kuala Lumpur: Bahasa dan Pustaka.

Mahyudin Al Mudra, SH. MM. Tradisi Bersirih dan Nilai Budayanya. Diakses daripada http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1703 pada 7 April 2015, 11.30pm.

Ding Choo Ming, 2009. Beberapa Sifat, Asal Usul dan Kepengarangan Peribahasa Melayu. Diakses daripada http://www.academia.edu/3178012/Beberapa_sifat_asal_usul_dan_kepengarangan_peribahasa_Melayu pada 9 April 2015, 3.25pm.


No comments:

Post a Comment